Tuesday, September 1, 2009

Setiap sesuatu ada hikmahNya


Telah berlalu sepuluh Ramadhan yang pertama, begitu cepat masa berlalu bagaikan tidak terasa mengharungi bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan dalam beribadah untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Sememangnya Allah Ta’ala sangat dekat dan hampir dengan kita, sebaliknya kita lah kadangkala yang dekat dan kadangkala jauh denganNya. Dekat denganNya bila kita melakukan ketaatan kepadaNya dan jauh denganNya bila kita melakukan maksiat dan mungkar kepadaNya.


“Ya, Allah berikanlah kami kekuatan dalam melakukan ketaatan padaMu, sesunggunya kami hamba yang tiada daya kekuatan melainkan dengan kehendak dan keiizinanMu”


Masih terngiang-ngiang kata-kata guru kami Maulana Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani di telinga dan sanubari saya sewaktu mengaji kitab Tuhfah Al-Ahwazi dan Kitab Bahjah Al-Nufus pada hari-hari awal Ramadhan baru-baru ini di masjid beliau. Kalamnya sangat menyentuh hati saya bila beliau berbicara tentang ilmu tasawwuf, pandangan matanya sungguh memberi kesan pada jiwa saya, beliau seorang yang sangat tawadhu’ dengan ilmunya. Beliau memperkatakan tentang masalah hikmah dan qudrah Allah Ta’ala. Kata-kata yang tidak dapat saya lupakan yang membuatkan saya sentiasa berfikir dan terus berfikir pada setiap sesuatu yang berlaku di sana terdapat hikmah Allah Ta’ala -semoga Allah memberkati Ilmunya di dunia dan akhirat-


Setelah kami membaca beberapa hadis dan syarahnya daripada kitab Tuhfah Al-Ahwazi kami membaca Al-Quran secara tadaarus sehingga sampai pada ayat ke-40 daripada surah maryam :

إِنَّا نَحْنُ نَرِثُ الْأَرْضَ وَمَنْ عَلَيْهَا وَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Maksudnya : “Sesungguhnya Kamilah Yang mewarisi bumi dan Segala makhluk Yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.”


Maulana Syeikh Yusri menjelaskan kepada kami kalimah (يرجعون) terdapat dua bacaan qiraat, pertamanya bacaan riwayat Ya’qub; dibaca dengan membariskan fathah pada huruf ya dan membariskan kasrah pada huruf jim iaitu dibaca (يَرْجِعُونَ) dan keduanya bacaan riwayat baki qurra’ yang lain; dibaca dengan membariskan dhommah pada huruf ya dan membariskan fathah pada huruf jim iaitu dibaca (يُرْجَعُونَ). Kedua-dua bacaan ini adalah riwayat yang mutawatir sampai kepada Rasulullah S.A.W.


Seterusnya beliau menjelaskan kepada kami makna bagi kedua-dua bacaan qiraat tersebut. Kata beliau :


Kalimah يُرْجَعُونَ atas wazan mabni lil maf’ul menunjukkan akan qudrah (kekuasaan) Allah Ta’ala untuk mengembalikan manusia kepadaNya setelah mereka hidup di dunia sama ada untuk dimasukkan ke dalam SyurgaNya ataupun NerakaNya, manakala kalimah يَرْجِعُونَ atas wazan mabni lil ma’lum yang menunjukkan bahwa manusia akhirnya akan kembali juga kepada Allah Ta’ala dengan sebab kematian yang akan mereka hadapi di dunia ini.”


Beliau menambah lagi :


Hikmah adalah merupakan sebab atas sesuatu perkara manakala qudrah adalah merupakan hakikat atas sesuatu perkara. Mati adalah merupakan sebab bagi manusia untuk kembali kepada Allah manakala hakikat kematian itu adalah datangnya daripada ketentuan dan kekuasaan Allah. Sebagaimana Allah menghidupkan manusia daripada tiada maka tidaklah sukar bagi Allah untuk mematikannya lalu membangunkannya semula”


Subhanallah, saya terfikir dengan kata-kata maulana syeikh Yusri ini, tafsiran ini jelas menunjukkan akan mukjizat Al-Quran. Satu ayat yang mempunyai serampang dua mata, pertama bagi mereka yang beriman kepada Allah dan Rasulnya akan mengakui akan hakikat bahawa mereka akan dikembalikan kepada Allah. Manakala keduanya bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah dan Rasulnya, tidakkah mereka mengambil pelajaran bahawa mereka tetap akan bertemu dengan kematian yang tidak dapat dielakkan yang akhirnya kematian ini akan menjadi sebab untuk mereka kembali kepada Allah.


Dalam kelas pengajian kitab Bahjah Al-Nufus iaitu kitab syarah kepada muktasar sahih Al-Bukhari, Maulana Syeikh Yusri turut menyebut sekali dengan tentang masalah Hikmah dan Qudrah Allah Ta’ala apabila menghuraikan kalam Ibnu Abi Jamrah Al-Andalusi terhadap hadis yang ke-18 iaitu hadis bab (البول والاستنجاء والشرب) :


Maulana Syeikh mengatakan :


Setiap perintah dan larangan daripada syarak mempunyai hikmah daripada Allah sama ada kita mengetahuinya ataupun tidak mengetahui, sama ada kita boleh berfikir atau pun tidak boleh berfikir tentangnya. Maka hikmah yang kita tidak ketahui atau dijangkaui oleh akal ini dipanggil sebagai Ta’abbud (akur dan patuh tanpa mempertikaikannya) sebagai contoh perintah untuk solat subuh dua rakaat, solat zuhur, asar dan isyak 4 rakaat dan maghrib 3 rakaat. Maka ibadah tadi haruslah dikerjakan tanpa boleh ditangguhkan untuk mencari hikmah, sebab atau faedahnya.”


Imam Ibnu Abi Jamrah turut mensyarah hadis ini dengan kalamnya :


“Hadis ini menunjukkan kepada maksud seorang mukallaf itu hendaklah mengetahui akan hikmah Allah Ta’ala atas sesuatu perkara dan mengikut akan hikmah tersebut. Sebab itu baginda nabi S.A.W bersabda ketika hendak bersai’e antara Safa dan Marwa : Kami memulakan dengan apa yang telah Allah mulakan”


Seterusnya Ibnu Abi Jamrah mengatakan :


Walaupun huruf wau tidak mendatangkan maksud susunan di dalam kalam bahasa arab namun Sahib Al-Nur (Rasulullah) mengetahui bahawa Al-Hakim (Allah) tidak memulakan sesuatu melainkan adanya hikmah, maka baginda mengikut akan hikmah Al-Hakim.”


Dalam menghuraikan hadis yang ke-20 iaitu hadis bab (النعاس في الصلاة) daripada kitab Bahjah An-Nufus, Berkata Imam Ibnu Abi Jamrah :


Hadis ini menunjukkan kepada perlunya untuk mengikut serta mematuhi akan hikmah kerana hikmah membuktikan bahwa rasa mengantuk atau tidur hanya akan hilang dengan seseorang itu dalam keadaan tenang sehinggalah sampai waktunya yang ditentukan oleh Allah Ta’ala.


Maulana Syeikh mengulas akan kalam Imam Ibnu Abi Jamrah katanya :


“Hikmah adalah merupakan sebab manakala qudrah adalah merupakan hakikat. Tidur adalah merupakan sebab untuk seseorang itu berehat dan mendapat kekuatan manakala hakikat yang mendatangkan rasa mengantuk dan tidur adalah Allah Ta’ala dan hakikat yang memberikan kekuatan semula pada manusia setelah tidurnya juga adalah Allah Ta’ala. Maka tidur menunjukkan kepada kita akan kekuasaan Allah Ta’ala ke atas makhluknya terutama manusia walaupun memiliki akal dan kekuatan apabila datangnya rasa mengantuk maka dia akan tetap akur dan patuh. Tidur juga menunjukkan bahawa manusia adalah lemah dan penuh dengan hajat dan keperluan.


Maulana Syeikh yang juga merupakan seorang doktor pakar bedah turut menyatakan pada kami bahawa sains perubatan masih belum dapat merungkaikan dengan tepat bagaimana sistem dalaman organ manusia boleh terus berfungsi semasa manusia tidur. Bagaimana ia boleh dikawal? Siapa yang mengawalnya? Maka sesungguhnya kesemua ini tidak lain dan tidak bukan adalah dibawah kekuasaan Allah Ta’ala. Subhanallah, sewaktu kita tidur kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah namun bagaimana perihal ketika waktu sedar kita? Adakah kita tunduk dan akur dengan ketetapan dan ketentuan Allah yang Maha Hikmah lagi Perkasa?


Maulana Syeikh turut menasihati kami agar tidak terlalu banyak menghabiskan masa untuk tidur. Tidur yang secekupnya bukanlah semestinya terikat dengan jumlah 6-8 jam sebalik tidur yang secukupnya adalah tidur yang sedikit tetapi memberi kesan. Maka hendaklah kita menyandarkan harapan dan pergantungan kepada Allah Ta’ala untuk mendapat tidur yang secukupnya. Kadang kala kita terlalu mengikut akan nafsu untuk tidur dengan berlebihan lalu dibuai dengan mimpi-mimpi indah yang sedikit sebanyak akan membuatkan hati menjadi keras.


Semoga Ramadhan kali ini dapat menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah Ta’ala dengan hikmah yang dihidangkan kepada kita melalui nas Al-Quran dan Hadis nabi S.A.W, meningkatkan lagi amalan kita untuk mendekatkan diri kepadaNya kerana siapalah kita tanpa Allah Yang Maha Agung, seterusnya dapat memberi kesan dalam jiwa dan rohani kita untuk menggapai keredhoanNya.



Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Bulan Tauladan



Shaaban berakhir melabuh tirai
Ramadhan datang kunjung tiba
Ibadah diganda dosa dilerai
Rebut tawaran terus berlumba


Bermula pertama hari Ramadhan
Pabila terbenam suria Syaaban
Azan maghrib sebagai sempadan
Tandanya masuk bulan Al-Quran

Solat Tarawih sesudah Isyak
Ditunai bersama secara jemaah

Lelaki perempuan anak diajak

Ruku' dan sujud mengharap sa'adah


Malam dihiasi amal ibadah
Solat, zikir membasahi lidah
Sahur diambil mengikut sunnah
Menanti subuh dihampari sejadah

Azan subuh menyeru umat
Bermula tempoh untuk berpuasa

Solat dikerja hati selamat

Sabar menahan segenap rasa


Siang hari medan ujian
mengawal nafsu dari godaan
Waktu terluang bacalah Al-Quran
Moga Allah memberi kekuatan

Azan Maghrib bergema sudah
Waktu berbuka orang berpuasa
Gembira rasa anugerah Allah
Puji dan syukur pada Yang Esa

Solat Tarawih, puasa, tilawah
Tarbiyah Ilahi pembangun jiwa
Iman bertambah menyusuri qudwah
Menuju Allah memburu taqwa

Kitaran hidup muslim sejati
Sebulan diharungi tidak terasa

Keampunan dipohon amalan diberkati

Sandaran harapan pada Yang Kuasa



1 Ramadhan 1430 H
Bait Perlis, Madinah El-Nasr,
Haiyyu Sabie', Kaherah.


Thursday, August 20, 2009

Pesanan berharga dari Ulama Al-Azhar

Alhamdulillah semalam sempat saya mengikuti majlis muhadarah yang disampaikan oleh beberapa orang masyaeikh Al-Azhar yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiyah atau lebih dikenali sebagai ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiyah) di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir. Walaupun sibuk dalam melakukan persiapan terakhir untuk menghadapi peperiksaan peringkat sarjana di Al-Azhar yang tak kurang hanya tinggal dua minggu sahaja. Kalau tidak mengikuti majlis tersebut terasa sangat rugi kerana dikhabarkan Fadhilah Imam Mufti Mesir Prof Dr. Ali Jum’ah juga akan turut hadir pada majlis tersebut ditambah pula guru kami Dr. Jamal Faruq Al-Hasani telah berpesan secara khusus kepada saya dan beberapa orang teman lain (Ust Hairul Nizam dan Ust Nazrul) untuk hadir pada majlis tersebut. Maka sebagai anak murid perlu dengar dan taat.


DMAK @ ARMA


Selesai solat asar di musolla ARMA terus saya memasuki dewan untuk mengambil tempat duduk kerana melihat hadirin yang datang semakin ramai bimbang takut tak dapat tempat duduk dan kalau boleh mahu mencari tempat di bahagian depan sekali agar dapat menatap wajah ulama dan masyaeikh Al-Azhar dengan lebih dekat dan jelas. Bukankah menuntut ilmu termasuk di dalam perkara ibadah? Dalam perkara ibadah disunatkan untuk berlumba-berlumba, jadi tidak salah untuk berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat duduk di bahagian depan agar lebih dekat dan hampir dengan masayaeikh yang akan melontarkan mutiara kata yang berharga.


Tatkala memasuki dewan kelihatan dewan sudah penuh dengan hadirin ikhwah dan akhawat dari pandangan belakang dewan sedikit terasa kekecewaan namun Alhamdulillah puji dan syukur kepada Allah kerana disebalik pandangan zahir tempat duduk yang sudah penuh dibahagian depan sebenar hakikatnya masih terdapat dua tempat duduk yang masih kosong. Kebetulan ada AJK program yang memperlawa untuk penuhkan 2 kerusi di bahagian hadapan sekali. Tanpa melengahkan masa terus saya dan Ust Hairul Nizam mengambil tempat tersebut. Sememangnya pandangan mata zahir kadang kala tidak tepat dan benar.


Terdengar khabar yang Fadhilah Imam Mufti Mesir tidak dapat hadir untuk memberikan muhadarah (ucapannya) sebaliknya diganti dengan naibnya Syeikh Muhammad Husam. Barangkali beliau sibuk dengan urusan yang lebih penting memandangkan hari ini beliau akan terlibat dalam proses melihat anak bulan Ramadhan seterusnya akan mengumumkannya pada majlis pengumuman yang dibuat di Dewan Muktamar Al-Azhar, Madinah Nasr, Kaherah. Sedikit terasa kecewa namun apabila melihat kehadiran masyaeikh yang lain terutama guru-guru talaqqi kami seperti Dr. Toha Dusuki, Dr Jamal Faruq, Syeikh Usamah Al-Sayid yang turut hadir walaupun beliau sibuk dalam menyiapkan Risalah PhDnya yang perlu disiapkan sebelum bulan Oktober ini maka terubat kembali rasa kecewa. Selain itu turut hadir ialah Dr Bakr Zaki ‘Awadh, Dr. Abd Salam Al-Atiq dan Syeikh Asyraf Hamid.


Muhadharah daripada masyaeikh dimulakan dengan ucapan Syeikh Muhammad Husam yang mewakili ucapan Fadhilah Imam Mufti Mesir. Beliau menyampaikan salam daripada Fadhilah Imam Mufti Mesir kepada hadirin dan memohon maaf kerana beliau tidak dapat hadir pada majlis tersebut. Syeikh Muhammad Husam memperkatakan tentang Al-Quran Karim sebagai kitab panduan hidayah yang diturunkan pada bulan Ramadhan dan menyeru kepada hadirin untuk memperbanyakkan membacanya berserta tadabbur memahami isi kandungan serta makna ayat yang dibaca. Beliau juga turut mengaitkan antara rahsia penurunan Al-Quran dengan waktu malam. Beliau membacakan ayat-ayat daripada Surah Al-Muzammil :


Maksudnya :


(1. Wahai orang Yang berselimut! 2. Bangunlah sembahyang tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidakuntuk berehat), 3. Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, 4. Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran Dengan "Tartil". 5. (Sayugialah Engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing Dengan Ibadat Yang berat kepada hawa nafsu, kerana) Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran Yang mengandungi perintah-perintah) Yang berat (kepada orang-orang Yang tidak bersedia menyempurnakannya). 6. Sebenarnya sembahyang dan Ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. 7. (Kami galakkan Engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana Sesungguhnya Engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan Yang panjang kira bicaranya; 8. Dan sebutlah (dengan lidah dan hati) akan nama Tuhanmu (terus menerus siang dan malam), serta tumpukanlah (amal ibadatmu) kepadanya Dengan sebulat-bulat tumpuan.)


Beliau menjelaskan membaca Al-Quran pada waktu malam dapat memberi kesan yang mendalam pada hati dan jiwa orang yang membacanya yang tidak akan dapat dirasai pada waktu siang kerana Allah melimpahkan rahmat dan keberkatanNya pada waktu malam lebih-lebih lagi pada waktu baki satu pertiga malam. Beliau menyebut dalam Al-Quran Allah Taala menyebut perkataan Al-Lail (malam) pada 92 tempat manakala Al-Nahar hanya sebanyak 57 tempat (Kalau tak salah apa yang ana dengar, kalau silap dapat dibetulkan) yang menunjukkan malam adalah waktu yang sesuai dan terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala sebagaimana umat Islam memulakan perkiraan hari bilamana matahari sudah terbenam maka telah masuk hari baru, sebab itulah hari pertama bulan Ramadhan di sambut dengan Solat Tarawih pada malamnya yang kemudian barulah berpuasa pada siangnya. Pada waktu malam jugalah berlakunya peristiwa kebesaran dan mukjizat sebagaimana peristiwa penurunan Al-Quran berlaku pada malam lailatul Qadr, peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku pada waktu malam dalam bulan rejab. Beliau juga menghuraikan kemajuan dan kebangkitan Umat Islam hanya akan dapat dicapai apabila umat Islam membangunkan Al-Quran dan merealisasikan tuntutan yang terdapat dalam Al-Quran sebagaimana sejarah umat Islam terdahulu telah membuktikannya. Dan Kejatuhan umat Islam adalah disebabkan mereka mengabai serta tidak menghiraukan panduan kitab hidayah yang merupakan wahyu Ilahi.


Muhadharah kedua disampaikan oleh Syeikh Usamah Al-Sayid Al-Azhari guru kami yang sangat dikagumi, usianya masih muda tetapi Ilmunya menggunung tinggi, ucapannya sungguh berkesan, ingatannya sangat kuat sehinggakan digelar sebagai Al-Mausuie (ensiklopedia), dihormati oleh masyaeikh yang lebih berusia daripadanya sehinggakan guru kami Dr. Jamal Faruq memanggilnya sebagai Syaikhuna (Guru kami) sedangkan Syeikh Usamah sebenarnya adalah anak murid kepada Dr. Jamal Faruq. Tidak hairanlah kenapa Syeikh Usamah sering menjadi pengganti kepada Fadhilah Imam Mufti untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Hassan atau mewakilinya ke dalam majlis-majlis Ilmu.


Syeikh Usamah memulakan muhadharahnya dengan menjelaskan perihal atau keadaan umat-umat terdahulu dengan nabi-nabi mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. Hubungan umat-umat terdahulu dengan ajaran nabi-nabi mereka tidak berpanjangan lamanya kerana ajaran nabi-nabi mereka kadangkala terhenti dan terputus apabila wafatnya nabi-nabi mereka. Hal ini berbeza dengan umat nabi Muhammad yang dimuliakan dengan kemuliaan nabi Muhammad S.A.W. Allah Taala menjanjikan ke atas umat nabi Muhammad dengan terpeliharanya Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan panduan bagi umat Islam serta menyelamatkan umat Islam daripada binasa kesyirikan walaupun setelah kewafatan nabi Muhammad S.A.W.


Buktinya jelas pada hari ini setelah 1400 tahun lebih sejak kewafatan baginda nabi Muhammad S.A.W Islam terus berkembang ke seluruh pelusuk dunia melalui jasa dan pengorbanan generasi sahabat yang mendapat didikan dan asuhan daripada baginda, generasi yang lahir daripada keluaran madrasah baginda seterusnya menyampaikannya kepada generasi para tabien sehinggalah berantaian penyampaian ilmu serta kefahaman Islam daripada satu generasi ke satu generasi yang lain seterusnya diwujudkan madaris ilmiyah (institusi pengajian ilmu Islam) bagi meneruskan kesinambungan penyampaian ilmu-ilmu Islam kepada umat Islam.


Justeru dibangunkan beberapa madaris ilmiyah di beberapa wilayah umat Islam seperti madrasah yang terdapat di Jamie’ Zaitunah di Maghribi, Jamie’ Al-Qarawiyin di Fas, Jamie’ Umawi di Dimasyq, dan Jamie Al-Azhar di Mesir. Kesemua madaris ilmiyah yang dibangunkan ini menjadi tempat dan pusat perkembangan ilmu-ilmu Islam sehinggakan ilmu-ilmu yang disampaikan dan kitab-kitab yang digunakan dalam pengajiannya diiktiraf oleh keseluruhan para ulama atau dengan kata lain (tallaqat bil qabul) akan kesahihan manhajnya sebagaimana kefahaman generasi para salafusoleh yang mengambil ilmu-ilmu Islam sehingga sampai sanadnya kepada baginda nabi Muhammad S.A.W.


Maka di Mesir, dengan izin Allah Taala Al-Azhar telah diwujudkan sebagai pusat perkembangan Ilmu Islam yang tertua di dunia Islam dan para ulama’ silam dan mutakhir mengiktiraf Al-Azhar sebagai pusat perkembangan Ilmu Islam yang membawa manhaj yang mu’tadil dan wasatiyah (seimbang dan sederhana) sebagaimana manhaj yang dibawa oleh baginda nabi S.A.W yang diajarkan kepada para sahabat dan salafusoleh. Sejarah juga telah menyaksikan bagaimana Al-Azhar telah melahirkan ramai para ulama’ yang menjadi mata rantai dakwah baginda nabi Muhammad S.A.W untuk menyampaikan risalah Islam ke seluruh pelusuk dunia.


Syeikh Usamah turut berpesan kepada hadirin khususnya kepada mahasiswa Malaysia yang belajar di Universiti Al-Azhar tentang amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul apabila pulang ke Malaysia kelak. Antara kalamnya yang cukup menyentuh hati seingat saya :


“Ketahuilah, sesungguhnya kamu semua akan pulang ke Malaysia nanti dan akan ditanya tentang pelbagai soalan, dan akan diajukan dengan pelbagai keraguan masalah dan syubhat, maka hendaklah kamu semua menyiapkan bekalan dan kelengkapan dengan menimba ilmu dengan sebanyaknya daripada masyaeikh Al-Azhar secara talaqqi musyafahah (duduk secara berdepan) untuk mendapat kefahaman yang jelas sebagaimana para masyaeikh Al-Azhar mengambil ilmu daripada guru-guru mereka dengan cara yang sama sehinggalah sampai sanadnya kepada Rasulullah”


Syeikh Usamah turut memberi peringatan kepada mahasiswa Malaysia agar berpegang dengan manhaj Al-Azhar yang diiktiraf sela

mat dan sejahtera oleh para majoriti ‘ulama dan umat Islam dan berhati-hati dengan manhaj yang menyimpang daripada kebenaran, kata beliau :


“Seandainya kamu diajak kepada berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah, maka hendaklah kamu pastikan manhaj mereka, tanyakan apa pandangan mereka terhadap Al-Azhar danulamanya, seandainya mereka bersetuju dengan Al-Azhar dan ‘ulamanya maka mereka adalah golongan yang benar, dan seandainya mereka menolak Al-Azhar dan ulamanya maka ketahuilah bahawa mereka bukan berada pada manhaj yang benar.”


Setelah selesai Syeikh Usamah menyampaikan muhadharahnya, maka majlis diteruskan dengan ucapan ringkas daripada beberapa orang masyeikh Al-Azhar yang turut hadir. Dr Bakr Zaki ‘Awadh dalam ucapannya menekankan tentang pentingnya dibangunkan tentera-tentera pengaman sebagaimana dibangunkan tentera-tentera peperangan dalam sebuah negara umat islam. Maksud tentera-tentera pengaman ialah para ulama yang akan menyampaikan ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat. Sebagaimana sebuah negara umat Islam mengambil berat tentang perihal ketenteraan dengan dikeluarkan belanja yang banyak untuk persenjataan dan kelengkapan perang maka demikian juga sebuah negara umat Islam juga perlu mengambil berat tentang perihal untuk membangunkan institusi ulama.


Seterusnya diikuti dengan ucapan Dr. Jamal Faruq, Pensyarah Aqidah Islam di Kuliyah Dirasat Islamiyah Kaherah yang mengulas akan ayat 18 daripada Surah Ali-Imran.


Maksudnya :


(18. Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya Dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) Dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang Yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga Yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia;Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.)


Dr Jamal Faruq Al-Hasani

Seterusnya diikuti dengan ucapan Dr. Toha Dusuki Ketua Jabatan Aqidah dan Falsafah, Kuliah Usuluddin Kaherah yang menyebut tentang setiap ibadah mempunyai kiblat atau arah yang ditentukan Allah Ta’ala. Kata beliau ;


“Ibadah Solat kiblatnya ialah Ka’bah, ibadah doa kiblatnya ialah daripada tadahan tangan berdoa sehinggalah ke atas langit, ibadah tawaf kiblatnya ialah dengan mengelilingi ka’bah maka menuntut ilmu adalah ibadah dan kiblatnya tidak lain dan tidak bukan adalah Al-Azhar..”


Dr Toha Dusuki Habisyi di maktabah rumahnya


Ucapan terakhir disampaikan oleh Dr. Abd Salam Al-Atiq, ‘ulama muda yang tawadhu’. Beliau mengatakan tidak layak untuk menyampaikan ucapan dihadapan masyaeikh Al-Azhar yang merupakan gurunya. Namun atas permintaan majlis beliau menyampaikan juga beberapa pesanan. Beliau mengingatkan kepada mahasiswa Malaysia agar membezakan antara bidang dakwah dan bidang fatwa, Bidang dakwah adalah merupakan matlamat dan tujuan daripada menuntut ilmu dengan menyampaikan amanah ilmu sama ada melalui percakapan mahu pun tingkah laku iaitu dengan akhlaq yang baik kepada masyarakat. Manakala bidang fatwa pula memerlukan kepada kepakaran dan kemantapan ilmu yang jitu.


Kesemua masyaiekh di dalam ucapan mereka memuji akan sikap mahasiswa Malaysia di Mesir yang sangat menghormati dan menyanjung para Ulama’ dan menjaga akan adab-adab dengan ilmu dan ‘ulama. Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Syeikh Asyraf Hamid seterusnya tetamu berangkat untuk ke jamuan. Alhamdulillah saya turut mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mencium tangan masyaeikh Al-Azhar sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas ucapan dan pesanan berharga yang disampaikan kepada kami. Alangkah indahnya hidup bersama-sama dengan ulama’…


جزاهم الله عنا خير الجزاء ونفعنا بعلومهم في الدارين , امين

Thursday, August 6, 2009

Solat dan Doa pada malam nisfu Sya’ban


Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum’ah.

Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi


Soalan :


Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya’ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?


Jawapan :


Malam nisfu Sya’ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya’ban daripada hadis-hadis (nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan dan Kuat (dari segi hukumnya).


Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya’ban serta menghidupkan malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang kelebihan malam tersebut.


Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه وأحمد .


Hadis daripada Ummul Mukminin Sayidatina ‘Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi’ sambil mendongakkan kepalanya ke langit.lalu baginda berkata : Wahai ‘Aisyah, adakah kamu takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata ‘Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb." -Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.


Seterusnya,


عن مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .


Hadis daripada Saidina Mu’adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda : “Allah memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya’ban, lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa orang musyrik (yang menyekutukan Allah) dan dosa orang yang bermusuhan.” -Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.


Seterusnya,


عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .


Hadis daripada Saidina ‘Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : “Apabila masuk malam nisfu Sya’ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya, Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang demikian…sesiapa yang demikian …sehinggalah terbitnya fajar.” -Riwayat Ibnu Majah.


Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak beri’tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut adalah wajib di sisi syara’ yang membawa hukum berdosa sekiranya meninggalkannya.


عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .


Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata : “Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan.” -Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.


Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :

“Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan soleh serta melakukannya secara berterusan.” -tamat


Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma’arif) :

“Ulama’ di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya’ban kepada dua pandangan.


Pertamanya :

Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.

Khalid ibn Ma’dan dan Luqman ibn ‘Amir dan selain daripada mereka telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.


Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan ibadah di masjid secara berjamaah : “Perkara tersebut tidaklah menjadi bid’ah.” Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail nya.


Keduanya :

Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan ‘Alim.” -tamat


Kesimpulannya :


Maka menghidupkan malam nisfu Sya’ban sama ada secara berjamaah ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah menjadi bid’ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.


Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid’ah kerana mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu Sya’ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.


Sumber :


Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya’ban 1430, m/s 136.

Thursday, April 30, 2009

Syarat dan Adab Kunci Kejayaan (2)


Syarat serta adab yang akan disebutkan ini adalah petikan daripada kalam Ibnu 'Ajibah di dalam kitabnya Al-Futuhat Al-Ilahiyah Fi Syarh Al-Mabahith Al-Asliyah. Kitab dalam ilmu Tasawwuf yang sedang saya pelajari dengan guru kami, Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna (hafizahullahu ta'ala) di anjung Atrak Masjid Al-Azhar. Syarat serta adab yang disebutkan oleh Ibnu 'Ajibah sangat menarik dan menyentuh hati, kalimah yang digunakan sangat halus dan teliti.

Telah berkata murabbi, guru kami Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani :
"Kalam auliya' Allah adalah kalam yang mempunyai nur yang Allah ilhamkan ke dalam hati hambaNya yang dikasihi."

Pada dasarnya syarat dan adab yang disebutkan itu adalah bagi seorang al-faqer atau al-sufi (seorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah S.W.T), namun saya adaptasikan syarat dan adab seorang sufi kepada syarat dan adab seorang tolibul ilmi kerana matlamat kedua-duannya adalah sama iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah (mardhatillah) mengharapkan cahaya hidayah Allah yang dapat menerangi kegelapan hati. Sebagaimana terdapat ungkapan syair arab :

فإذا لم يعنك الله فيما تريده # فليس لمخلوق إليه سبيل
وإن هو لم يرشدك في كل مسلك # ضللت ولو أن السماك دليل

Maksudnya :

Sekiranya Allah tidak memberi inayahNya (bantuan) terhadap apa yang kamu inginkan # Maka tidak akan ada jalan untuk sampai kepada apa yang dihajatinya
Sekiranya Allah tidak memandu kamu pada setiap langkah yang diatur #

Nescaya akan sesat sekalipun kamu jadikan langit sebagai petunjuk

Oleh yang demikian, bagi memperolehi inayah dan irsyad daripada Allah S.W.T tidak dapat tidak bagi seorang penuntut ilmu itu memperlengkapkan dirinya dengan syarat-syarat serta adab-adab ilmu sebagai sebab kelayakan untuk beroleh kejayaan tersebut.

Lapan syarat bagi seorang penuntut ilmu :

1. Niat yang sahih : قصد صحيح

Seorang penuntut ilmu haruslah meletakkan niat yang betul dan sahih iaitu semata-mata kerana Allah taala serta berusaha untuk mewujudkan ruh keikhlasan di dalam amalan sebagaimana kata-kata Al-Syeikh Ibnu 'Atoillah Al-Sakandari dalam kitabnya Al-Hikam :

الأعمال صور قائمة وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya : "Sesuatu amalan itu adalah merupakan gambaran kerangka luar, adapun ruhnya ialah wujudnya rahsia keikhlasan di dalam amalan tersebut."

Oleh itu, seorang penuntut ilmu itu mestilah berusaha untuk mewujudkan rahsia keikhlasan di dalam dirinya, namun apakah tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya? Soalan yang pernah saya ajukan kepada murabbi serta guru tariqat kami (Al-Tariqat Al-Siddiqiyyah Al-Syazuliyah), iaitu Maulana Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani (Hafizahullahu Taala) sewaktu bermusafir bersama beliau ke Humaitharah menziarahi maqam Al-Syeikh Abu Hassan Al-Syazuli. Beliau menjawab :

"Tanda seseorang itu ikhlas dalam amalannya ialah sentiasa istiqamah dalam melakukan amalan serta sentiasa merasakan diri serba kekurangan ketika melakukan amalan tersebut."

bersama Maulana Al-Syeikh Dr. Yusri Rusydi Al-Syed Jabr Al-Hasani
dihadapan pintu masuk maqam Abu Hassan Al-Syazuli

2. Keyakinan yang jelas : صدق صريح

Tolibul ilmi hendaklah meyakini bahawa bidang yang diceburinya adalah merupakan sebahagian daripada pilihan dan ketetapan Allah S.W.T yang tidak patut dipersiakan bahkan menyakini akan kelebihan dan ganjaran terhadap penuntut ilmu yang ikhlas sebagaimana hadis S.A.W yang dikeluarkan oleh Imam Al-Tirmizi dalam kitab Jamie'nya daripada Abu Hurairah R.A :

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ( مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ )
قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ

Maksudnya : "Rasulullah S.A.W telah bersabda : Barangsiapa yang menjejak kakinya ke jalan semata-mata untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan jalan baginya untuk sampai ke syurga."

3. Memiliki Adab yang diredhai : آداب مرضية

Menjadi kewajipan bagi penuntut ilmu untuk menghiasai diri dengan adab yang diredhai oleh Allah dan RasulNya sama ada terhadap ilmu mahu pun terhadap guru, rakan-rakan serta orang lain serta diri sendiri. Telah berkata guru kami Al-Syeikh Dr. Muhammad Muhanna sewaktu mensyarahkan kitab Al-Futuhat Al-Ilahiyah karangan Ibnu 'Ajibah ini :

"Adab merupakan kunci, barangsiapa yang tidak memiliki adab maka tidak dapat untuk memasuki melalui pintu untuk sampai kepada Allah S.W.T"

Kadang kala ramai di kalangan penuntut ilmu tidak mengambil berat tentang persoalan adab seolah-olah ianya adalah perkara kecil. Bukankah baginda nabi Muhammad S.A.W diutuskan bagi menyempurnakan akhlak?

عن أبى هريرة رضى الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ( انما بعثت لاتمم مكارم الاخلاق
أخرجه البيهقي في السنن الكبري
Maksudnya : "Daripada Abi Hurairah R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda : Sesungguhnya aku diutuskan (oleh Allah S.W.T) bagi menyempurnakan akhlak."

4. Memiliki perihal yang baik : أحوال زكية

Di samping itu, seorang penuntut ilmu itu hendaklah menghiasi dirinya dengan perihal yang baik bertepatan dengan syariat Islam agar tidak menzalimi diri sendiri serta orang lain. Maka penuntut ilmu haruslah berusaha untuk memperbaiki perihalnya daripada baik kepada yang lebih baik melalui jalan mujahadah kerana kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan nafsu. Kadang kala Iman kita bertambah dengan perkara ketaatan dan kadang kala akan berkurangan dengan perkara maksiat yang dilakukan.

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Tahrim ayat 6 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
Maksudnya : "Wahai orang yang beriman!Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala)..."

Insyallah bersambung akan datang...